Telinga kucing adalah jauh lebih sensitif daripada telinga manusia. Jika anda terfikir bunyi yang membingitkan anda, anda patut bayangkan betapa teruknya bunyi itu untuk kucing kita.
Pelbagai jenis bunyi boleh menyumbang kepada sesuatu yang dipanggil "tekanan akustik" untuk kucing kita. Ini memberi kesan kepada kucing kerana mereka mempunyai kapasiti pendengaran yang luas.
Kucing sensitif kepada banyak bunyi yang berbeza, mereka mudah terkejut dan bertindak balas dengan cepat jika ada sesuatu yang mengganggu mereka. Mereka sering melompat kemudian berlari ke arah yang bertentangan dengan bunyi apabila mereka mendengarnya.
Berikut adalah senarai beberapa bunyi yang merimaskan kucing anda.
1. Bunyi Berdesis
Kucing mendesis kepada kucing lain (atau haiwan atau orang lain) apabila mereka diancam atau ketakutan. Kepada kucing, bunyi ini menunjukkan situasi yang menakutkan. Ia adalah bunyi yang biasanya bermaksud bahaya.
Disebabkan itu, apa-apa bunyi yang seakan-akan berdesis akan membuat mereka bertindak balas. Misalnya, bunyi penyembur rambut, vakum, tin aerosol, beg plastik yang dikibas, kerajang aluminium yang dikeronyok atau beberapa jenis pakaian yang bergesel antara satu sama lain.
2. Bunyi Hentakan
Kucing sangat mudah untuk terkejut dengan apa jua bunyi secara tiba-tiba. Mereka tidak menjangkakan bunyi itu dan tidak bersedia untuknya, jadi ia membuatkan mereka melompat. Terdapat banyak bunyi yang menakutkan mereka dari dalam rumah tangga yang mungkin kita buat setiap hari tanpa kita sedar.
Ini termasuk perkara seperti hentakan periuk dan kuali, pengisar dapur, objek berat yang terjatuh dan pintu yang dihempas.
3. Bunyi Berfrekuensi Tinggi
Kucing mendengar bunyi pada frekuensi yang lebih tinggi daripada yang kita boleh. Ini bermakna bahawa banyak bunyi yang benar-benar menjengkelkan yang sebenarnya tidak dapat didengari oleh manusia tapi jelas kedengaran untuk kucing.
Anda mungkin terkejut apabila mengetahui bahawa banyak peranti elektronik seperti skrin komputer dan juga skrin televisyen semuanya mengeluarkan bunyi frekuensi tinggi yang boleh menjengkelkan kucing.
4. Bunyi Meletus
Kucing cukup benci dengan bunyi meletus kerana dua sebab. Pertama, bunyi itu mengejutkan mereka kerana ia terjadi tanpa dijangka. Kedua, mereka tidak dapat memahami bagaimana ia terjadi. Misalnya apabila sesuatu seperti belon besar yang berada di hadapan mereka, kemudian secara tiba-tiba ia hilang sepenuhnya, dan dengan bunyi dentuman. Itu amat mengelirukan kucing.
5. Ribut petir
Ribut petir sangat memberi tekanan kepada kucing, atas beberapa sebab yang berbeza. Terdapat bunyi letupan yang sangat kuat daripada guruh, diikuti cahaya kilat berkelip tidak lama selepas itu. Terdapat juga perubahan dalam tekanan udara, yang dapat dirasakan oleh kucing. Kebanyakan kucing juga membenci hujan kerana ia membuatkan mereka basah. Jadi ribut petir bukanlah tempat yang baik untuk kucing.
6. Bunga api
Terdengar bunyi bunga api atau mercun meletup sudah cukup membuatkan mana-mana kucing akan berlari lintang-pukang mencari perlindungan. Selain itu, bau sulfur pada bunga api dan mercun boleh membuatkan kucing berasa tidak selesa.
7. Jeritan yang kuat
Kucing sangat pintar dan mereka boleh memahami nada kita dengan mudah. Bukan sahaja jeritan yang kuat kedengaran menyedihkan, tetapi kucing boleh mengetahui apabila kita sedih atau marah. Kucing sangat sensitif terhadap gangguan dalam persekitaran rumah mereka.
Kucing dapat merasakan apabila kita berasa tidak gembira. Ia amat menyedihkan mereka jika berlaku pergaduhan didepan mata mereka. Kucing anda selalunya akan cuba bersembunyi atau takut jika terdengar seseorang sedang menjerit.
Sumber: All About Cats