Tol Percuma Dua Hari Sempena Perayaan Hari Krismas 2023

Sempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas pada Isnin, 25 Disember ini, kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari, iaitu pada 23 Disember (Sabtu) dan 26 Disember (Selasa).

tol percuma dua hari sempena perayaan hari krismas 2023

Dalam satu kenyataan Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, kementerian melalui mesyuarat bersama-sama dengan syarikat konsesi tol bersetuju untuk memberikan tol percuma pada dua hari tersebut.

 

Menurutnya, pengecualian tol diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

 

“Pemberian tol percuma ini diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

“Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.

Sumber: Facebook KKR