Kartun mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan kanak-kanak kerana ia mampu merangsang imaginasi dan kreativiti mereka dengan cara yang menyeronokkan.
Namun dalam memberikan hiburan kartun atau animasi, ibu dan bapa perlu berwaspada dan meneliti setiap kandungan, selain perlu mengawasi tindakan anak-anak agar tidak terpengaruh dengan apa yang ditonton mereka.
Terbaharu, satu kejadian menggemparkan berlaku pada Jumaat (26 Mei) di bandar Hunan, China selepas seorang kanak-kanak berusia empat tahun bertindak terjun dari rumahnya di tingkat 26 sambil memegang payung.
Tindakan kanak-kanak itu dipercayai ditiru olehnya selepas menonton kartun ‘Tom and Jerry’, dan membayangkan dia akan mendarat dengan selamat ke tanah jika terjun sambil memegang payung.
Pun begitu, berat badan kanak-kanak ini telah menyebabkan dia jatuh ke atas sebuah pokok, dan mengakibatkan cedera ringan dan juga patah lengan. Dia kini juga berada dalam keadaan stabil.
Menurut sumber, ketika kejadian, ibu kanak-kanak terbabit sedang bekerja, manakala bapanya pula kerap ke luar negara. Ketika itu, anak kecil ini sedang dijaga oleh neneknya.
Tabiat menonton televisyen secara berlebihan dapat memberi kesan buruk kepada kanak-kanak seperti kurangnya aktiviti fizikal dan penurunan keupayaan sosial. Selain itu, paparan yang tidak terkawal terhadap kandungan yang tidak sesuai boleh memberi impak negatif kepada perkembangan emosi dan nilai moral kanak-kanak.
Sumber: Mothership