Astro Originals yang menumpukan drama berkualiti premium dan jalan cerita segar, telah membariskan drama-drama ternama, sekali gus berjaya mencipta fenomena tersendiri seperti ‘Projek : High Council’, ‘LIAR’, ‘Riot!’, ‘Gamers Mangkuk’ dan banyak lagi.
Bagi meneruskan objektifnya dalam memacu transformasi konten tempatan ke tahap yang lebih tinggi dan menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton, Astro Originals mempersembahkan deretan drama hebat untuk tahun 2024.
Antara yang menjadi taruhan adalah ‘I.D’, ‘Framed’, ‘X-Change’, First Wives dan ‘Projek: Exit’. Setiap naskhah terbitan Astro Shaw ini bakal membawakan genre berbeza serta melibatkan produksi dan pengarah berpengalaman.
Bermula dengan I.D yang akan menemui penonton Februari hadapan, sentuhan pengarah ‘Projek: Anchor SPM’ dan filem PUSAKA, Razaisyam Rasyid dan lakonan Naim Daniel, Amelia Henderson, Aedy Ashraf, Ellyzza Azizi, Datuk Rosyam Nor dan Betty Banafe.
Menampilkan genre young adult dan cybercrime, I.D mengisahkan Aidi yang pakar dalam bidang menghasilkan aplikasi, tetapi sering dibuli. Aidi meminati seorang bintang pempengaruh terkenal, Anggun dan dia menggunakan kelebihannya dalam dunia digital dengan mengubah identiti dan penampilan di media sosial untuk mendekati Anggun. Perbuatan Aidi turut menjeratnya kepada jenayah scammer.
Framed
Framed mengangkat genre fantasy investigative thriller, yang dijayakan gandingan serasi pelakon popular Meerqeen dan Mimi Lana. Turut membintangi Sangeeta Krishnasamy, Riz Amin, Zamarul Hisham, Khir Rahman, Rusdi Ramli, Vanidah Imran dan Ram Raaga. Diarahkan oleh pengarah filem aksi, Sein Qudsi, Framed mengenai Lia yang mencari jawapan kepada kehilangan ibunya menerusi sebuah kamera polaroid yang memberi petunjuk gambaran tragedi masa hadapan. Namun, pencarian tersebut telah membawa Lia dan Edi terlibat dalam sebuah konspirasi besar.
X-Change
X-Change sebuah drama premium genre crime, action, coming of age dan romance, hasil showrunner Lemuel Ong dan diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad. Siri ini dibintangi oleh Arfie Shah, Joey Leong, Datuk Rosyam Nor, Hariz Hamdan, Marissa Yasmin, Sadiq M. Jamil, Steve Yap, Ardini @ Angeline Tan, Alvin Wong, dan Shweta Sekhon. Drama penuh aksi dan mendebarkan ini mengisahkan Khalif, seorang remaja yang ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara bersama teman wanitanya.
Tetapi latar belakang keluarga Khalif, yang terlibat dalam jenayah bagi meneruskan hidup, memaksa Khalif untuk membuat pilihan antara impiannya dan tanggungjawabnya kepada keluarga. Keadaan memaksa Khalif semakin terjebak dengan jenayah, sehingga satu rahsia terbesar keluarganya terbongkar.
Sementara itu, First Wives arahan Imri Nasution, lakonan Mimi Lana, Malek Mccrone dan Andy Teh mengangkat tema women empowerment dengan kisah dua kawan baik sejak kecil. Diyana dan Michelle yang mengetahui pengkhianatan suami mereka telah bekerjasama untuk mengenakan suami masing-masing. Rancangan pertama mereka adalah merompak kedai suami mereka sendiri.
Bagi peminat Projek: High Council dan Projek : Anchor SPM, terbaru Projek : Exit, sebuah lagi hasil karya oleh showrunner dan pengarah Zulaikha Zakaria masih mempartaruhkan genre teen drama, coming of age. Kisahnya bermula apabila seorang pelajar 16 tahun yang gagal dalam cubaan membunuh diri dihantar ke sebuah asrama pemulihan akhlak. Di situ dia berkawan dengan seorang pelajar lelaki dan merancang untuk melarikan diri dari sekolah asrama tersebut. Lakonan oleh Shasha Abedul, Amierul Aiman dan Naim Daniel.
Nantikan drama-drama premium Astro Originals seperti I.D, Framed, X-Change, First Wives dan Project : Exit di Astro Premiere (Saluran 410) atau strim di platform On Demand dan Astro GO.