Satu tapak baru bagi deposit emas dan bijih tembaga telah ditemui di wilayah Madinah oleh kerajaan Arab Saudi baru-baru ini.
Menurut Saudi Press Agency (SPA), Pusat Kajian dan Penerokaan Mineral, emas itu berada dalam kawasan sempadan di Madinah.
Selain emas, bijih tembaga turut ditemui di empat tapak di wilayah Wadi Al-Faraa yang juga terletak di Madinah.
Ia akan menjadikan kawasan perlombongan itu dengan saiz pelaburan bernilai AS$533 juta (RM2.4 trilion) dan boleh membuka peluang sebanyak 4,000 pekerjaan.
Penemuan itu juga dijangka akan menarik minat para pelabur tempatan dan antarabangsa serta akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Terdahulu, Putera Mahkota Arab, Putera Mohammed bin Salman mengumumkan keutamaan negara adalah sektor penyelidikan termasuk pembangunan dalam sektor perlombongan.
Arab Saudi juga dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral sama ada yang berbentuk logam atau bukan logam, bahan binaan, batu hiasan dan batu permata.
Sumber: Sinar Harian