Tambang Percuma Feri Pulau Pinang Selama 50 Jam Sempena Thaipusam 2024

Perkhidmatan feri percuma di Pulau Pinang akan diberikan bermula 12.01 tengah malam 24 Jan sehingga 2 pagi 26 Jan, bersempena dengan perayaan Thaipusam tahun ini.

tambang percuma feri pulau pinang selama 50 jam sempena thaipusam 2024

Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook yang berkata, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd telah diminta untuk memberikan perkhidmatan feri secara percuma selama dua hari.

 

Ujarnya, ia adalah pertama kali dibuat secara 24 jam, bersempena dengan perayaan Thaipusam yang akan disambut pada 25 Januari depan.

 

"Kita menjangkakan ramai penganut agama Hindu akan ke bahagian pulau untuk menyambut Thaipusam. Dengan perkhidmatan percuma ini kita harapkan ia membantu memudahkan pergerakan.

"Feri ini akan beroperasi 24 jam bermula 24 Januari sehingga 25 Januari manakala 26 Januari, ia akan beroperasi sehingga 2 pagi. Kita berharap, ia akan memberi satu kemudahan kepada rakyat," katanya.

 

Tambah lagi, perkhidmatan bas perantara juga diberi secara percuma untuk penumpang yang mahu ke kuil di Kebun Bunga.

 

"Penumpang yang tiba di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), kita akan menyediakan bas perantara percuma yang mana, bas akan melalui di kawasan-kawasan penganut Hindu bersembahyang, destinasi akhir adalah di Kuil Kebun Bunga.

"Bas perantara ini akan beroperasi bermula jam 2 petang, 24 Januari dan jam 5.30 pagi hingga 1 pagi (25 Januari).

"Ini akan memudahkan khususnya penduduk di Seberang Perai untuk pergi ke kawasan pulau tanpa menggunakan kereta, mereka hanya perlu pergi ke terminal feri untuk ke bahagian pulau," katanya lagi.

 

Inisiatif ini menurut beliau lagi diharapkan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sempena dengan perayaan Thaipusam itu nanti.

 

Terdahulu, tambang percuma juga diberi kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang pada 24 dan 25 Januari ini bersempena dengan perayaan Thaipusam.

Baca: Tambang KTM Komuter Lembah Klang Percuma Dua Hari Sempena Thaipusam 2024

 

Sumber: Sinar Harian