Suami Mangsa Kejadian Menembak Texas Susuli Pemergian Isteri

Pasangan kepada salah seorang tenaga pengajar yang terbunuh dalam kejadian tembakan besar-besaran Selasa lalu di Uvalde, Texas dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

suami mangsa kejadian menembak texas susuli pemergian isteri

Joe Garcia ialah suami kepada Irma Garcia, yang mengajar selama 23 tahun di Sekolah Rendah Robb.

Puan Garcia adalah salah seorang daripada tenaga pengajar yang terbunuh oleh seorang remaja lelaki bersenjata dalam kejadian menembak yang mengakibatkan seramai 21 orang terbunuh, yang mana 19 daripada angka terbabit merupakan kanak-kanak.

Pasangan yang telah berkahwin selama 24 tahun itu meninggalkan empat orang anak yang berumur antara 12 hingga 23 tahun.

Menjelang malam Khamis, kutipan dana dalam talian untuk keluarga Garcia telah mengumpulkan hampir AS$1.6 juta (RM7,006,400) daripada sasaran awal dengan jumlah sederhana iaitu AS$10,000 (RM43,790).

Di halaman GoFundMe yang dikhususkan buat keluarga tersebut, sepupu kepada Puan Garcia, Debra Austin didapati menulis, “Saya benar-benar percaya Joe meninggal dunia akibat patah hati.”

Sementara itu, di Twitter pula, anak saudara Puan Garcia, John Martinez berkata bahawa Encik Garcia telah meninggal dunia akibat kesedihan berikutan pembunuhan isterinya.

Selepas kejadian tembakan maut di Uvalde, Encik Martinez memberitahu New York Times bahawa Puan Garcia ditemui pegawai dalam keadaan yang mana beliau merangkul kanak-kanak dalam pelukannya sehingga nafas terakhirnya.

 

Sumber: [1]