Peperangan yang berlaku di bumi Gaza bukan sahaja memberi kesan kepada kemusnahan harta benda dan kehilangan puluhan ribu nyawa, malah ia turut menjejaskan banyak haiwan di negara itu, termasuk yang berada di zoo.
Baru-baru ini, tular foto yang menunjukkan seekor singa dalam keadaan kurus kering sedang memakan sisa makanan dan bangkai monyet di zoo Gaza yang mati akibat kebuluran.
Sejak lebih dua bulan konflik Hamas-Israel, banyak haiwan seperti singa, monyet, dan burung kakak tua bergelut untuk mendapatkan makanan serta rawatan di Zoo Rafah dekat Genting Gaza.
Lebih menyedihkan, segelintir haiwan lain dilapor mati akibat kebuluran teruk, manakala yang lain kini kelihatan kurus keding bagaikan ‘bangkai bernyawa’, sejak pengurusan zoo tidak dapat menyediakan makanan secukupnya kepada haiwan disitu.
Pemilik zoo, Ahmed Gomaa berkata, empat ekor monyetnya telah mati dan seekor lagi sangat lemah hingga terpaksa disuapkan makanan.
Beliau turut meluahkan rasa bimbang dengan dua ekor anak singa yang mana ibunya telah hilang separuh berat badan akibat tidak mendapat makanan rutin mencukupi.
"Kami terpaksa memberi mereka roti kering yang direndam bagi memastikan mereka hidup. Situasi sangat dahsyat," katanya.
Sumber: Sinar Harian