Sharifah Sofia Kembali Dalam 'Scammer 2'

Selepas sekian lama tidak kelihatan di kaca televisyen, pelakon Sharifah Sofia kini membuat ‘comeback’ menerusi drama sekuel kedua keluaran Astro Ria, ‘Scammer 2’.

sharifah sofia kembali dalam 'scammer 2'

Menerusi ‘Scammer 2’, pelakon wanita berkacukan Inggeris-Melayu ini membawa kelainan sebagai watak antagonis yang juga bernama Sofia.

“Bukan tak biasa pegang watak jahat tapi kali ini kita bertudung dan meringkuk di dalam penjara. Dulunya watak jahat Sofia seakan-akan nakal, tetapi sekarang watak jahat ini seakan-akan gangster dan ganas.

“Watak Sofia dalam drama ini merupakan salah seorang antagonis. Waktu saya menerima tawaran ini, saya pun tidak begitu jelas dengan karakternya tetapi bila sudah sampai di lokasi penggambaran, saya berasa seronok kerana dapat bekerja dengan Encik Labu, pengarahnya dan juga Beto yang memainkan watak utama dalam drama ini,” kata Sofia.

sharifah sofia kembali dalam 'scammer 2'

Pembabitan Sofia dalam drama ini juga merupakan sesuatu yang tidak disangka berikutan tawaran yang diberikan kepadanya hanya diterima pada saat-saat akhir.

“Drama ‘Scammer 2’ kali ini memang datang pada saat akhir sangat. Hari ini saya dapat panggilan, esok mereka sudah panggil untuk mulakan penggambaran.

“Alhamdulillah, ketika itu saya memang tidak sibuk sangat jadi saya pun terima sahaja tawarannya. Lagipun, saya memang sudah mengetahui tentang drama ini daripada musim pertamanya. 

“Cuma kali ini saya tidak tahu yang barisan pelakon-pelakonnya pun ditukar. Walaubagaimanapun, saya masih seronok bekerja dengan geng-geng ‘Scammer 2’ kali ini.”

Drama ‘Scammer 2’ ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam mulai 18 April 2022 secara eksklusif di Astro Radio (saluran 104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand.

Selain Sharifah Sofia, ia turut dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Beto Kusyairy, Farah Nabilah, Zahiril Adzim dan Diva Azwan Ali.