Sepak Mula Liga Bola Sepak Malaysia 2023 Seawal 4.30 Petang

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah memperkenalkan waktu sepak mula baharu pada sebelah petang bagi perlawanan Liga Malaysia musim 2023 ini.

sepak mula liga bola sepak malaysia 2023 seawal 4.30 petang

Ia akan melibatkan waktu sepak mula pada jam 5.30 atau 5.15 petang di Semenanjung dan 4.30 atau 4.45 petang di Sabah dan Sarawak.

 

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam sebagai langkah memberi dimensi baharu dalam kancah bola sepak tanah air.

 

"Sepak mula yang lebih awal ini memberikan kelebihan baharu dan 'new fan base' yang boleh kelab akses. Memang segalanya ada pro dan kontra.

"Tetapi, dari pemerhatian MFL, perubahan ini memberi satu dimensi baru yang positif lebih daripada yang negatif.

"Ia juga untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong serta mewujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik," katanya.

 

Menurut kalendar perlawanan yang dikeluarkan MFL, terdapat satu perlawanan dalam setiap minggu Liga Super yang akan berlangsung pada waktu petang. Manakala perlawanan lain akan bermula jam 8.15 dan 9 malam, dan jam 10 malam pada bulan Ramadan.

 

Bagi perlawanan di Sabah dan Sarawak, perlawanan lain akan bermula jam 7.30 dan 8.15 malam, manakala 9.15 malam pada bulan Ramadan.

 

Sumber: Stadium Astro