Baru-baru ini, sebanyak 40 buah satelit Starlink milik syarikat SpaceX telah terkesan akibat fenomena ribut solar hingga menyebabkan satelit-satelit itu mengalami kerosakan.
Menurut SpaceX, ribut solar yang berlaku itu juga telah meningkatkan suhu Bumi secara mendadak. Ia menyebabkan orbit satelit mereka yang berada pada jarak 210 km dari Bumi terjejas.
Kerosakan satelit akibat ribut solar ini bukanlah pertama kali terjadi malah pada tahun-tahun sebelumnya insiden serupa juga pernah berlaku.
Misalnya kejadian ribut solar pada September 1859 yang menyebabkan kegagalan sistem telegraf di Amerika Utara dan Eropah, hingga ada laporan menyatakan sebahagian operator yang bekerja pada masa kejadian mengalami kejutan elektrik.
Mac 1989 juga pernah mencatatkan insiden serupa yang mengakibatkan kegagalan kuasa di Quebec, Kanada.
Tambah lagi, lewat Oktober 2003, insiden ribut solar yang berlaku ketika itu telah memberi kesan kepada lebih separuh satelit yang mengorbit Bumi hingga menggangu GPS, industri penerbangan dan komunikasi antara Amerika Utara, Asia hingga Kutub Utara.
Ekoran itu, komuniti saintis menjangkakan kejadian ribut solar akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang disebabkan Matahari kini semakin lengkap kitaran 11 tahun medan magnetiknya, juga disebut sebagai tompokan Matahari.
Berdasarkan data yang diperoleh, saintis meramalkan kemuncak kitaran ribut solar akan berlaku dalam bulan Julai 2025 nanti.
Sumber: [1], [2], [3], [4], [5], [6]