Saham Gula-Gula Kopiko Melambung Selepas Dimakan Elon Musk

Saham syarikat gergasi makanan dan minuman Indonesia, Mayora melambung selepas ia menghadiahkan gula-gula berperisa kopi popular, Kopiko kepada orang terkaya di dunia, Elon Musk.

saham gula-gula kopiko melambung selepas dimakan elon musk

Bulan lalu, Musk bertemu dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Luhut Pandjaitan di Amerika Syarikat untuk membincangkan kemungkinan pelaburan Tesla di Indonesia yang kaya dengan nikel.

Satu foto dari pertemuan terbabit kemudian mendapat perhatian ramai yang mana ia memperlihatkan Luhut menawarkan Musk satu beg gula-gula Kopiko sebagai token kecil dari Indonesia.

Namun siapa hendak sangka bahawa harga saham Mayora akan melonjak dengan serta-merta tidak lama selepas itu sebanyak 7.35 peratus.

“Kopiko adalah produk asli Indonesia yang kini berada di lebih 100 negara. Ia juga pernah dibawa ke angkasa lepas oleh angkawasan,” kata Pengarah Pemasaran Global Mayora Ricky Afrianto sambil menambah bahawa Luhut menawarkan gula-gula itu kepada Musk kerana beliau merupakan pengasas SpaceX.

Subiakto Priosoedarsono, ikon penjenamaan Indonesia yang melontarkan idea untuk Kopiko 36 tahun lalu, juga tidak dapat menahan kegembiraannya selepas Musk menikmati gula-gula itu.

“Saya tidak pernah menjangka idea yang saya lahirkan pada 1986 akan dimakan oleh orang terkaya di dunia,” tulisnya di Instagram.

 

Sumber: [1]