Safee Sali Umum Bersara, Bakal Tubuh Akademi Bolasepak Untuk Cungkil Bakat Muda

Lagenda bolasepak negara, Safee Sali hari ini mengumumkan telah bersara daripada bolasepak profesional.

safee sali umum bersara, bakal tubuh akademi bolasepak untuk cungkil bakat muda

Dengan bilangan jaringan lebih 136 untuk kelab dan 47 untuk negara, Safee Sali yang kini berusia 39 tahun telah dianggap sebagai pemain bolasepak terhebat sepanjang zaman.

 

Mengikuti perjalanan beliau selama hampir 2 dekad, Safee akhirnya membuat keputusan untuk mengakhiri kerjaya bolasepak beliau dan mengucapkan terima kasih kepada peminat, rakan seperjuangan, kelab bolasepak dan para penaja yang telah menyokong beliau sepanjang bergelar pemain bolasepak.

 

Untuk rekod, Safee Sali memulakan kerjaya profesional pada tahun 2004 dan bermain dalam beberapa buah kelab bolasepak yang terbaik di dalam serta luar negara, termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City FC, Selangor FC dan Pelita Jaya FC dari Indonesia. Dengan kemahiran menyerang dan kebolehan untuk membuat aksi akrobatik, beliau yang merupakan penyerang tengah adalah watak yang penting dalam kejayaan Malaysia memenangi Piala AFF pada tahun 2010.

 

Pada tahun 2022, beliau telah memegang rekod sebagai pemain bolasepak Malaysia pertama yang bermain dalam dua perlawanan akhir Piala AFC iaitu semasa bermain dengan KL City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2015.

 

Dalam satu kenyataan, Presiden FAM turut mengucapkan terima kasih atas usaha keras dan semangat beliau terhadap sukan sekaligus menempatkan beliau dalam hati peminat serta komuniti bolasepak negara dan dunia.

safee sali umum bersara, bakal tubuh akademi bolasepak untuk cungkil bakat muda

“Bagi mewakili FAM, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Safee di atas sumbangan beliau terhadap bolasepak Malaysia dan semoga berjaya untuk masa hadapan beliau.

“Kami yakin beliau akan terus memberi impak yang positif kepada sukan, dan kami amat menantikan penglibatan beliau di dalam pembangunan bolasepak Malaysia”, kata Yang Berbahagia Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

 

Dalam perkembangan lain, Safee Sali kini dalam usaha menubuhkan akademi bola sepak dan juga dalam proses untuk menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk “Sepuluh” yang memaparkan kisah kehidupan dan kerjaya bolasepak beliau.

 

“Saya amat teruja untuk mengumumkan bahawa saya sedang dalam usaha untuk menubuhkan akademi bolasepak yang akan mencungkil bakat-bakat muda ke peringkat yang tertinggi. Pada masa yang sama juga, saya juga dalam usaha untuk menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk “SEPULUH” yang akan memaparkan kehidupan dan kerjaya bolasepak saya,” demikian menurut Safee Sali.

 

Semoga terus berjaya dan terima kasih lagenda, Safee Sali!