Raya Haji: Ramai Mula Balik Kampung, Ini Sembilan Kesalahan Utama Jadi Fokus JPJ

Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Khamis (29 Jun), orang ramai dilihat sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing sejak hujung minggu lalu.

raya haji: ramai mula balik kampung, ini sembilan kesalahan utama jadi fokus jpj

Bagi memastikan kelancaran dan mengurangkan risiko kecelakaan jalan raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini telah melancarkan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) bermula hari ini (27 Jun) selama empat hari.

 

Op Khas HRAA ini antara lain bertujuan memantau dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan.

 

“JPJ akan menjalankan penguatkuasaan yang memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama seperti memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar dan tidak memakai tali pinggang atau topi keledar,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

 

Menerusi semakan di portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), sembilan kesalahan utama itu adalah:

1. Tidak mematuhi lsyarat lampu merah

2. Memandu melebihi had laju (AWAS)

3. Mengguna telefon bimbit semasa memandu

4. Memandu di lorong kecemasan, memotong barisan (Potong Q).

5. Memotong di garisan berkembar

6. Tidak memakai tali pinggang

7. Tidak pakai topi keledar

8. Membawa lebih muatan

9. Membawa muatan bahaya

 

Bagi kesalahan 1 hingga 5, ia perlu diselesaikan di mahkamah dan tidak boleh dikenakan kompaun.

 

Tambah lagi, JPJ juga akan mengadakan Op Motosikal secara bersasar kepada penunggang atau pembonceng motosikal di seluruh negara.

 

Ia adalah kerana rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010-2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain.

 

“Ini membuktikan pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ mengambil serius untuk mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50% menjelang 2030,” kata beliau lagi.

 

Sumber: Kosmo!