Work-from-home atau singkatannya WFH pernah diamalkan di seluruh dunia ketika pandemik COVID-19 sedang mengganas beberapa tahun lalu.
Namun selepas sahaja sekatan kembali dibuka dan ekonomi kembali rancak, ramai pekerja kembali bekerja di pejabat dan terpaksa menempun kesesakan lalu lintas yang dilihat semakin teruk.
Ramai antara kita yang perlu keluar awal pagi sebelum waktu Subuh semata-mata mahu tiba ke pejabat sebelum atau tepat pada waktunya, dan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Lebih menyedihkan, ada beberapa pihak yang terpaksa tidur dan menginap dalam kereta kerana bertolak awal pagi untuk ke pejabat.
Paling terkesan adalah golongan ibu dan bapa yang perlu menghantar anak bersekolah. Bayangkan sesi persekolahan yang bermula 7.30 pagi dan golongan ibu dan bapa ini perlu mengejar masa untuk ke tempat kerja mereka pula selepas itu, namun terpaksa berhadapan pula dengan kesesakan lalu lintas.
Sehubungan itu, ramai warganet di media sosial menggesa pihak berkenaan khususnya kerajaan untuk kembali melaksanakan sistem WFH seperti yang pernah diterapkan ketika pandemik COVID-19 lalu. Tambah pula dengan kemajuan teknologi masa kini, banyak pekerjaan boleh sahaja diselesaikan dari rumah atau dimana-mana yang mempunyai capaian Internet. Bukankah masa yang terbuang dalam kesesakan lalu lintas itu boleh digunakan untuk melaksanakan pekerjaan supaya dengan itu kita menjadi lebih produktif?
Apa pula pendapat anda? Wajar ke WFH dilaksanakan semula atau ada kaedah lain yang lebih berkesan?
Sumber: Majoriti