Radio GEGAR, jenama radio No. 1 Pantai Timur di bawah naungan Astro Radio, semalam telah memenangi anugerah ‘Best In Consumer Satisfaction’ di majlis MCMC Star Rating Awards 2021 bagi kategori radio.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital bersama Datuk Seri Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Digital, serta Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Operasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Pengurus Kandungan GEGAR, Raja Nadia Salwana Raja Hisham telah menerima anugerah tersebut sebagai pengiktirafan terhadap kepuasan pengguna untuk perkhidmatan terbaik yang ditawarkan oleh GEGAR kepada rakyat Malaysia.
“Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka dan berharap untuk terus menjadi perintis dalam menawarkan perkhidmatan terbaik bagi industri penyiaran radio tempatan.
“Kami berharap semua dapat terus menikmati kandungan terbaik yang diberikan oleh GEGAR, serta menantikan tawaran yang lebih menarik pada masa akan datang”, kata Raja Nadia Salwana.
Pemilihan pemenang adalah berdasarkan peranan penting yang diketengahkan oleh pemain-pemain industri dalam menyediakan perkhidmatan cemerlang menerusi tiga sektor utama iaitu industri telekomunikasi, penyiaran dan industri kurier.
Semua rakyat Malaysia boleh terus menikmati pelbagai pilihan lagu dan kandungan terbaik yang disediakan oleh GEGAR di udara dan di Aplikasi SYOK.