Pernahkah anda mengalami masalah bibir kering yang mana ia sangat menggangu aktiviti harian?
Bibir kering merupakan satu masalah biasa yang boleh melarat menjadi luka dan kadang kalanya bernanah atau menjadi kuping,
Menurut Doktor Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, bibir kering terjadi apabila terdedah kepada suhu yang keterlaluan, tidak kira sama ada suhu terlalu tinggi atau terlalu rendah. Antara lain, kurangnya air juga boleh menjadi penyebab bibir kering.
Selain itu, gincu juga antara penyebab kepada masalah bibir kering. Bahan alergik seperti makanan kepada sesetengah orang juga antara punca kepada masalah ini.
Apabila bibir mula merekah, ketidakselesaan timbul dan menyebabkan aktiviti seperti senyum, makan dan bercakap terganggu.
Ramai menyangka dengan menjilat bibir sendiri, ia dapat mengekalkan kelembapan bibir. Namun sebenarnya aktiviti itu boleh menyebabkan bibir menjadi bertambah kering.
Cara terbaik merawat bibir kering adalah dengan meminum air secukupnya iaitu lapan gelas sehari. Individu yang mempunyai obesiti perlu meminum air yang lebih kerana permukaan kulit lebih besar, menyebabkan banyak air tersejat melalui kulit.
Selain itu, penggunaan pelembap bibir turut membantu dalam mengekalkan kelembapan bibir seseorang. Namun perlu dipastikan pelembap bibir itu adalah sesuai dengan anda atau sebaliknya. Cara terbaik adalah dapatkan nasihat doktor dan pakar kulit bagi memilih pelembap bibir yang sesuai.
Tambah lagi, perlu diingatkan supaya tidak sesekali kupas serpihan kulit dari bibir anda. Tindakan ini menyebabkan sel-sel kulit yang tidak bersedia untuk jatuh dan luka kecil terbentuk, menjadikan ia lebih sukar untuk sembuh.
Sumber: [1], [2]