Perbuatan Menghendap Kini Satu Jenayah, Akta Sudah Berkuatkuasa 31 Mei Lalu

Undang-undang yang dikenali sebagai Akta Anti-Menghendap telah mula dikuatkuasa pada 31 Mei selepas pengumuman daripada Jabatan Peguam Negara.

perbuatan menghendap kini satu jenayah, akta sudah berkuatkuasa 31 mei lalu

Menurut Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), undang-undang baru melalui seksyen 507A mentakrifkan menghendap sebagai tindakan berulang yang mengganggu seseorang dengan niat untuk menyebabkan tekanan, kebimbangan, ketakutan, atau gangguan kepada mereka.

 

"Jika seseorang berulang kali mengekori, berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dalam sebarang cara, berlegar-legar di kediaman atau tempat kerja anda dan memberi atau menghantar apa-apa sahaja kepada anda dalam sebarang cara dan membuatkan anda tertekan atau takut, anda mungkin seorang daripada mangsa pemandiri menghendap.

"Maka kini, anda boleh mendapatkan pertolongan daripada pihak polis jika dihendap atau memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah perlindungan terhadap individu sedang disiasat atau dituduh dengan kesalahan menghendap,” katanya.

perbuatan menghendap kini satu jenayah, akta sudah berkuatkuasa 31 mei lalu

Pada bulan Mac, Dewan Rakyat telah meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah untuk menjadikan perbuatan menghendap sebagai jenayah.

 

Pindaan ini bermakna individu yang disabit kesalahan menghendap boleh dihukum dengan penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya.

 

WAO juga mencadangkan beberapa langkah penting untuk memastikan rakyat di negara ini dilindungi, antaranya:

  1. Mengemaskini garis panduan dan peraturan untuk mentakrifkan menghendap sebagai jenayah dan menyediakan latihan dan sumber yang sewajarnya kepada pegawai polis, pegawai kebajikan sosial, pendakwa, hakim, dan pekerja barisan hadapan lain.
  2. Melancarkan kempen nasional untuk memberi maklumat kepada mangsa mengenai hak-hak mereka dan mengedarkan kesedaran kepada semua rakyat Malaysia tentang akibat serius menghendap.
  3. Melatih dan berkongsi sumber dengan NGO dan pembekal perkhidmatan lain supaya mereka lebih bersedia untuk menyokong mangsa menghendap pada masa depan.

 

Sumber: Sinar Harian