5 Bilion Penduduk Dunia Bakal Berhadapan Dengan Kematian Jika Perang Nuklear AS-Rusia Tercetus

Seramai 5 bilion penduduk dunia bakal berhadapan dengan kematian sekiranya tercetus perang nuklear antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, menurut menurut satu kajian baru seperti mana yang dilaporkan agensi berita United Press International (UPI).

5 bilion penduduk dunia bakal berhadapan dengan kematian jika perang nuklear as-rusia tercetus

Menurut pasukan penyelidik Universiti Rutgers menerbitkan  kajian mereka  dalam jurnal Nature Food, mereka membentangkan senario yang mungkin berlaku sekiranya AS  dan Rusia terlibat dalam perang nuklear berskala penuh selama seminggu.

“Perang antara AS, sekutunya dan Rusia yang  mana semua pihak memiliki lebih 90 peratus senjata nuklear global,  boleh menghasilkan lebih 150 teragram jelaga dan musim sejuk nuklear,” kata kajian itu.

“Jelaga akan tersebar secara global dan menutupi bahagian atas atmosfera Bumi. Justeru, keputusan kajian kami adalah relevan  tanpa mengira negara mana yang berperang.”

Dalam senario sama, purata pengeluaran kalori global daripada tanaman dijangka akan berkurangan sekitar 90 peratus dalam tempoh empat tahun selepas perang berlaku selain mengurangkan bekalan ikan global.

Penduduk  di kebanyakan negara akan mengambil kalori kurang daripada yang dibakar oleh badan. Ini akan mengakibatkan  lebih 5 bilion orang mati menjelang akhir tahun kedua. 

Kajian itu mengandaikan bahawa perdagangan antarabangsa selepas perang nuklear akan terhenti dengan negara-negara di Benua Afrika dan rantau Asia Barat “terjejas teruk” akibat  penurunan dalam eksport makanan dunia.

“Ketiadaan cahaya matahari, penyejukan global dan kemungkinan sekatan perdagangan selepas perang nuklear merupakan  malapetaka global,” kata kajian itu.

 

Sumber: AFR