Awas, Penjual dan Pembeli di Lampu Isyarat Sekitar Kuantan Akan Disaman

Mana-mana individu yang didapati menjual dan membeli barangan di persimpangan lampu isyarat sekitar daerah Kuantan akan berdepan dengan tindakan saman.

awas, penjual dan pembeli di lampu isyarat sekitar kuantan akan disaman

Amaran dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) terhadap penjaja serta orang ramai khasnya pengguna jalan raya yang membeli jualan itu.

 

Menurut Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata langkah itu diambil jika mereka terus ingkar dan degil melakukan kegitan itu selepas teguran dibuat pihak MBK.

 

Ujarnya, ia adalah sebagai langkah keselamatan nyawa orang ramai.

 

"Setakat ini, tiada sebarang saman dikeluarkan lagi kerana kita masih pada peringkat memberi kesedaran kepada mereka termasuk penjaja jalanan bahawa aktiviti berniaga dan membeli di tengah jalan boleh membahayakan nyawa orang ramai.

"Selepas ini, tindakan saman akan dibuat terhadap mereka (penjaja dan pembeli) jika masih melakukan aktiviti itu," katanya.

 

Ujar beliau, pasukan warden lalu lintas MBK kini menguatkuasakan tindakan mengikut Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Jika disabitkan kesalahan, individu itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara 6 bulan atau keduanya sekali.

 

Kata beliau, tindakan itu bukan berniat untuk menutup pintu rezeki seseorang, sebaliknya mereka perlu patuh kepada peraturan dan undang-undang sedia ada.

awas, penjual dan pembeli di lampu isyarat sekitar kuantan akan disaman

Aktiviti jualan di persimpangan lampu isyarat dilihat semakin berleluasa, bukan sahaja berlaku di Kuantan, malah di kawasan-kawasan lain seluruh negara.

 

Antara yang sering dijual adalah buah-buahan seperti nenas, jambu dan lain-lain.

 

Sumber: BH

Foto Kosmo!