Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengumumkan sebanyak 60 Bazar Ramadan Rahmah akan dibuka di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan ini.
Lebih menarik insentif berjumlah RM50 akan diberi kepada peniaga yang menawarkan Menu Rahmah, serta E-dompet RM20 kepada para pengunjung yang hadir ke Bazar Ramadan Rahmah itu pada tahun ini.
Timbalannya, Fuziah Salleh berkata pihaknya menyasarkan sekurangnya 40% peniaga di Bazar Ramadan Rahmah untuk menawarkan Menu Rahmah yang mana juadah boleh dibeli dengan harga lebih murah untuk para pelanggan.
“Di bazar ini, kita akan beri insentif kepada peniaga yang menawarkan Menu Rahmah sebanyak RM50 dan kita akan beri insentif pada pengunjung dalam bentuk e-Dompet RM20 dan di setiap lokasi bazar, ada 2,000 e-Dompet akan dikeluarkan untuk membantu pengunjung yang datang ke bazar rahmah untuk membeli pada harga yang lebih murah,” kata beliau.
Untuk itu, penguatkuasa kementerian akan melaksanakan Ops Pantau bermula Selasa, 12 Mac di setiap bazar Ramadan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Sumber: BH