Gara-gara pelaksanaan perintah berkurung, penduduk di bandar Xian dekat Beijing, China kini dilaporkan berdepan dengan masalah kekurangan bekalan makanan mencukupi, hingga memaksa beberapa penduduk menggadaikan barangan elektronik semata-mata untuk mendapatkan makanan.
Menurut laporan, kira-kira 13 juta penduduk di bandar Xian dikurung di rumah sejak 23 Disember tahun lalu dan mereka dilarang keluar sama sekali untuk mendapatkan makanan serta bekalan penting.
Malah ini memaksa penduduk hanya bergantung kepada barangan keperluan yang diagihkan pihak berkuasa tempatan dan sumber bekalan makanan sendiri.
Namun sejak kebelakangan ini, penduduk Xian menyuarakan kebimbangan masalah kekurangan bekalan makanan yang dialami mereka menerusi media sosial.
Ia termasuklah kaedah barter yang terpaksa dibuat bagi mendapatkan makanan kerana terlampau terdesak.
Beberapa gambar di media sosial menunjukkan penduduk terdesak menukar konsol permainan Nintendo Switch demi mendapatkan mi segera dan roti kukus.
Selain itu, ada juga yang menukarkan rokok kepada kubis, tuala wanita untuk sayur-sayuran dan cecair pencuci pinggan untuk mendapatkan epal. Malahan ada juga yang sanggup menukarkan telefon bimbit pintar dan tablet hanya untuk mendapatkan beras.
Bagaimanapun pihak kerajaan negara tersebut menafikan dakwaan tidak cukup makanan dengan menyiarkan gambar sekumpulan pegawai sedang mengagihkan bungkusa barangan runcit kepada penduduk sekitar bandar tersebut.
Sumber: [1]