Demi meneruskan kehidupan tatkala kekurangan sumber makanan ketika konflik peperangan tercetus, penduduk di Gaza terpaksa mengolah makanan haiwan menjadi roti sebelum ia dimakan.
Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor (IJ), Farrah Faridah Baptist yang berkata penduduk di bumi itu mengalami kebuluran dan dibimbangi akan bertambah buruk menjelang Ramadan ini.
"Disebabkan kurang makanan penduduk Gaza mengolah makanan haiwan menjadi roti. Keadaan terkini penduduk di utara Gaza itu diceritakan penduduk tempatan yang juga wakil rasmi Ihsan Johor di sana.
"Mereka tiada pilihan untuk meneruskan hidup. Selain itu mereka juga terpaksa bergantung dengan sejenis rumpai, namanya 'mallow' sebagai makanan," katanya.
Bukan sahaja makanan, bekalan ubat-ubatan dan akses air bersih juga berkurangan di Gaza sejak konflik tercetus 7 Oktober lalu.
Lebih menyedihkan, tiada persiapan Ramadan dibuat penduduk kerana keutamaan mereka kini adalah meneruskan hidup dengan mendapatkan akses sumber makanan.
"Bekalan betul-betul amat terhad untuk dibawa masuk ke Gaza termasuk sumbangan daripada pihak Ihsan Johor, malah lori bantuan ke utara Gaza ada yang dibom," kata beliau.
Sumber: Sinar Harian