Peminjam KWSP Masih Perlu Bayar Ansuran Bulanan Pada Bank

Baru-baru ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), yang bertujuan untuk membolehkan ahli KWSP membuat permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun bagi membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

peminjam kwsp masih perlu bayar ansuran bulanan pada bank

Antara syarat bagi membuat permohonan FSA2 adalah seperti berikut:

Terbuka kepada ahli KWSP yang belum mencapai umur 55 tahun

Warganegara Malaysia

Permohonan adalah sekali sahaja

Permohonan yang telah lulus tidak boleh dibatalkan

Amaun simpanan minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP

Amaun maksimum bagi pengeluaran bersyarat tidak melebihi RM50,000 dalam Akaun 2 (tertakluk kepada amaun pembiayaan peribadi yang diluluskan oleh institusi perbankan)

 

Menurut KWSP, dengan mengambil kira simpanan yang ada dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi, ahli yang memohon FSA2 masih perlu membayar ansuran bulanan sepertimana yang ditetapkan oleh institusi perbankan.

 

“Permohonan awal ini membolehkan ahli mengambil kira simpanan yang ada dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan di mana bayaran pengeluaran hanya akan dibuat kepada pihak institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 tahun hingga 55 tahun tertakluk kepada pilihan umur pengeluaran ahli.

“Pada masa yang sama, ahli perlu membayar ansuran bulanan sepertimana yang ditetapkan oleh institusi perbankan,” demikian menurut KWSP dalam satu kenyataan.

peminjam kwsp masih perlu bayar ansuran bulanan pada bank

Bermula 7 April 2023, ahli boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian. Terdapat 3 langkah utama yang perlu dilakukan oleh ahli:

Langkah 1: Membuat semakan awal kelayakan simpanan Akaun 2 KWSP melalui portal institusi perbankan yang mengambil bahagian.

Langkah 2: Membuat permohonan pembiayaan peribadi melalui portal institusi perbankan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh institusi perbankan.

Langkah 3: Mengemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan KWSP melalui portal institusi perbankan, berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

 

Semak laman sesawang KWSP untuk info lanjut --> https://fsa2.kwsp.gov.my/