Miliki Kekayaan RM93 Juta, Peminat Terkejut Pemain Manchester City, Riyad Mahrez Masih Pakai 'Handphone' Retak

Kekayaannya bernilai kira-kira RM93 juta. Bagaimanapun, ia tetap bukan alasan untuk pemain bola sepak dunia, Riyad Mahrez, menukar telefon bimbitnya yang telah retak kepada yang baru.

memiliki kekayaan rm93 juta, peminat terkejut pemain manchester city, riyad mahrez masih pakai 'handphone' retak

Pemain sayap Manchester City itu menjadi bualan hangat ramai pengguna media sosial selepas beliau dilihat membawa telefon bimbitnya yang retak ketika dalam perjalanan menuju ke jelajah pramusim pasukan terbabit di Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Dalam perjalanan saya ke AS,” tulis Mahrez di Twitter berserta foto dirinya yang sedang membawa beg menaiki kapal terbang sambil memegang telefon bimbitnya itu.

Hantaran itu kemudian mencuri tumpuan ramai pengguna Twitter yang rata-ratanya memfokuskan pada telefon bimbitnya yang jelas kelihatan retak.

“Riyad, anda seorang jutawan,” komen salah seorang pengikutnya di Twitter.

“Selagi ia berfungsi,” balas Riyad.

Sekadar perkongsian, bekas pemain Leicester City itu mula menyertai Manchester City pada Julai 2018 dengan harga £60 juta (RM319,272,738) sekaligus menjadikannya pemain Afrika yang termahal.

Sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak, Mahrez pernah memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris dalam empat musim menerusi pasukan Manchester.

Menariknya, pemain berusia 31 tahun itu bukanlah pemain bola sepak Afrika pertama yang memiliki telefon bimbit retak.

Terdahulu, penyerang Bayern Munich, Sadio Mane juga pernah menjadi tajuk utama selepas dia dilihat dengan telefon retak pada 2019 ketika beliau bermain untuk Liverpool.

 

Sumber: [1]