Pelawat Asing Dikecuali Dari Perintah Berkurung Penuh Di Turki

Pelbagai langkah keselamatan telah diambil oleh kerajaan Turki untuk melindungi kesihatan dan keselamatan orang awam daripada pandemik koronavirus (COVID-19) yang telah melanda seluruh dunia.

pelawat asing dikecuali dari perintah berkurung penuh di turki

Menurut arahan rasmi terkini, Presiden Erdoğan telah mengumumkan kawalan dan penutupan tambahan bagi membendung penularan COVID-19, termasuk perintah berkurung penuh di seluruh Turki, mulai jam 19:00 pada Khamis, 29 April 2021, dan tamat pada 05:00 pada Isnin, 17 Mei 2021, merangkumi hari bekerja serta hujung minggu.

pelawat asing dikecuali dari perintah berkurung penuh di turki

Pelawat asing ke Turki untuk lawatan singkat dan bagi tujuan pelancongan adalah dikecualikan daripada perintah berkurung. Mereka dibenarkan untuk meneruskan aktiviti-aktiviti dengan syarat mereka membawa pasport bersama. Operasi pengangkutan awam akan diteruskan dengan kapasiti 50%. Muzium-muzium dan tempat-tempat bersejarah utama di sembilan bandar termasuk İstanbul, Antalya, Muğla dan Nevşehir (Cappadocia) akan dibuka kepada pelawat asing dalam tempoh perintah berkurung tersebut.

 

Dalam tempoh perintah berkurung, perkhidmatan penginapan akan diteruskan kepada pengunjung termasuk kemudahan makan-minum di dalam hotel. Operasi kedai makan seperti restoran dan kafe beroperasi untuk perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang sahaja.

pelawat asing dikecuali dari perintah berkurung penuh di turki

Sehingga ke penghujung bulan Ramadan, Khamis, 13 Mei 2021, kedai yang menjual makanan seperti restoran, kedai pastri, kafe, dan kafeteria akan memberikan perkhidmatan penghantaran 24/7. Selepas tarikh ini, operasi mereka akan dibenarkan untuk perkhidmatan penghantaran sehingga jam 01:00 sahaja.

 

Untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah destinasi yang paling selamat di dunia, Turki meneruskan pelaburan untuk ‘Program Pensijilan Pelancongan Selamat’ yang menjadi salah satu contoh pertama dan paling berjaya dalam bidang ini di dunia. Sijil ”Pelancongan Selamat” adalah wajib untuk kemudahan penginapan yang mempunyai lebih daripada 30 bilik sejak 1 Januari 2021 lalu. Sehingga kini, 9,236 kemudahan penginapan telah mendapat pensijilan. Turki memberikan kemudahan insurans tambahan yang menawarkan pelbagai faedah bersama insurans kesihatan dan perjalanan. Maklumat mengenai pakej-pakej insurans boleh didapati di https://tga.gov.tr/insurance

 

Di samping itu, Turki telah melaksanakan program pendaftaran vaksinasi warga kerja pelancongan yang dikelolakan bersama oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, Kementerian Kesihatan dan Agensi Promosi dan Pembangunan Pelancongan Turki (TGA). Program tersebut telah dilancarkan di bawah skop ‘Program Pensijilan Pelancongan Selamat’ bagi mengalu-alukan pelancong pada musim ketibaan mereka yang akan menjelang serta memastikan bahawa kesihatan dan keselamatan warga kerja pelancongan dan para penduduk terjamin. Program vaksinasi bagi warga kerja pelancongan akan dilengkapkan sebelum permulaan musim panas 2021.

 

Turki mengambil semua langkah-langkah yang perlu bagi memastikan Turki kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan sihat dalam tahun 2021 dan sebagai salah satu pilihan utama yang selamat bagi pelancong-pelancong antarabangsa.

 

Sumber: Siaran Media Turkey Tourism Promotion and Development Agency oleh GO Communications dan ISC International