Pelakon Pacific Rim Didenda RM4 Juta Akibat Iklan Palsu

Pelakon filem Hollywood, Pacific Rim: Uprising, Jing Tian didenda sebanyak RM4.73 juta oleh biro pengawal selia pasaran China akibat pengiklanan palsu.

pelakon pacific rim didenda rm4 juta akibat iklan palsu

Jian Tian, yang menjadi duta produk kesihatan, mendakwa gula-gula berperisa buah dan sayur produk terbabit mampu menghalang penyerapan gula, minyak dan lemak tanpa mengesahkan fungsinya, lapor Global Times.

Undang-undang pengiklanan China menetapkan bahawa makanan biasa tidak boleh dipromosikan kerana mempunyai fungsi terapeutik.

Memetik kenyataan Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran, portal itu melaporkan pendapatan Jing sebanyak RM1.69 juta yang diperoleh daripada menjadi duta produk terbabit turut dirampas selain juga dikenakan denda tambahan sebanyak RM3.04 juta.

Selepas tersebar berita berkenaan denda itu, Jing mengemukakan permohonan maafnya di platform Weibo dan berikrar untuk bertanggungjawab terhadap pengguna serta tidak menyokong produk yang tidak disahkan pada masa hadapan.

Gula-gula itu yang dijual pada harga kira-kira RM65 telah dikeluarkan dari katalog pelbagai platform e-dagang utama seperti Taobao dan lain-lain.

Terdahulu, pelakon China, Deng Lun didenda RM69.5 juta akibat mengelak untuk membayar cukai pada Mac.


Sumber: [1]