Bagi menyemai minat para pelajar terhadap subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tiket percuma akan diberi kepada pelajar yang membuat lawatan rasmi ke Pusat Sains Negara (PSN) di Kuala Lumpur serta Cawangan Wilayah Utara di Alor Setar, Kedah, dan Planetarium Negara.
Usaha itu adalah hasil inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendekatkan sains dan teknologi kepada rakyat dan menyemai minat terhadap STEM.
Satu surat pekeliling ikhtisas KPM bertarikh 16 Jun 2023 juga telah dikeluarkan, menyebut tentang garis panduan lawatan murid sekolah di bawah KPM iaitu pihak sekolah digalakkan menganjurkan lawatan berunsurkan pendidikan serta mampu memberi manfaat dan kebaikan kepada murid dan menambah ilmu pengetahuan masing-masing.
Surat itu turut menyarankan agar institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM untuk merujuk juga garis panduan tersebut.
Pusat Sains Negara menyediakan pengalaman sains dan teknologi di galeri pameran dalaman dan zon pameran luar yang menyediakan pelbagai barangan pameran dan aktiviti antaranya sains fizik, sains hayat dan sains angkasa termasuk pameran Obskura XR untuk meneroka teknologi realiti maya.
Manakala, Planetarium Negara pula menawarkan sesi demonstrasi sains dan pengalaman astronomi. Ia kini dalam proses pembaikan dan akan kembali dibuka kepada pengunjung bermula Ogos ini.
Sumber: Astro AWANI