Pandemik COVID-19 yang mula dikesan pada Disember 2019, kini sedang berlaku secara global. Selepas memasuki tahun ke-2, kini sebanyak 5,505,839 nyawa telah terkorban dan lebih 307 juta individu dijangkiti.
Ketika ramai sedang bertungkus lumus menghapuskan wabak ini, satu laporan mendakwa barisan kabinet Britain menjangkakan pandemik COVID-19 mungkin akan berlarutan sehingga enam tahun lagi.
Disebabkan itu, kit ujian kendiri antigen pantas virus tersebut yang kini diberikan percuma mungkin akan ditamatkan bagi mengelak kerugian berbilion pound sterling.
Menurut rancangan, kit ujian pantas ini hanya akan disediakan di pusat jagaan warga emas, hospital dan juga sekolah, selaras dengan pemotongan kos yang juga menyaksikan khidmat Ujian dan Jejak Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dihadkan.
“Saya tidak fikir kita berada dalam dunia yang membolehkan kita berterusan memberi set ujian kendiri antigen pantas secara percuma kepada rakyat selama-lamanya.
“Kita mungkin perlu beralih ke senario di mana pemberian kit ujian kendiri berkurangan namun dalam masa sama memiliki kapasiti untuk meningkatkannya mengikut keperluan semasa,” ujar sumber akhbar The Sunday Times.
Bagaimanapun keputusan ini masih belum dimuktamadkan pihak Britain.
Cadangan itu timbul susulan kajian yang menunjukkan gejala varian Omicron adalah lebih ringan berbanding strain lain. Mujur kempen suntikan dos penggalak yang giat dilaksanakan dipercayai mampu melindungi individu daripada jangkitan Omicron ketika ini.
Sumber: [1]