Bermula hari ini (15 September), Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan operasi Hormat Undang-Undang Fasa Dua dengan lebih tegas melibatkan jalan raya di sekitar ibu negara sehingga 29 September depan.
Menurut Ketua Polis KL, Datuk Allaudeen Abdul Majid, operasi itu diteruskan untuk fasa seterusnya susulan daripada impak positif dalam kalangan pengguna terhadap undang-undang jalan raya.
“Kita akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.
“Sebanyak 16 lokasi menjadi tumpuan termasuk Persimpangan Jalan Tun Razak, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Persimpangan Jalan Raja Laut dan Persimpangan Jalan Sultan Ismail,” katanya.
Tambahnya, operasi itu turut dilakukan pada waktu puncak membabitkan 1,000 anggota terdiri daripada pegawai kanan dan rendah.
Terdahulu, dalam operasi fasa 1 yang bermula 1 hingga 31 Julau lalu, pihak polis KL telah mengutip sebanyak 157,000 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Sumber: Kosmo!