Baru-baru ini, bekas Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Kanada, Catherine McKenna telah memuji nasi lemak Singapura, dan menyifatkan ia sebagai sarapan paling sedap di negara itu.
Dalam satu hantaran Twitter, McKenna berkongsi gambar sarapan paginya dengan kapsyen: “Nasi lemak! Sarapan paling lazat di Singapura”.
McKenna berkongsi imej sepinggan nasi lemak berserta potongan ayam dan kepingan telur, ikan bilis serta keropok.
Hantaran itu nyata telah mencuri perhatian ramai warganet, khasnya dari Malaysia, yang sepakat menafikan pandangan itu dan mempertahankan kesedapan hidangan nasi lemak negara ini. Ujar beberapa warganet, nasi lemak Malaysia adalah lebih baik dan sedap berbanding nasi lemak Singapura.
McKenna bagaimanapun tampil memberi penjelasannya berhubung kenyataan dibuat beliau:
“Nampaknya, saya telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia yang menyatakan nasi lemak adalah masakan Melayu dan lebih sedap di sana (Malaysia). Saya tidak berkata bahawa saya tidak bersetuju. Saya perlu pergi ke Kuala Lumpur tidak lama lagi dan merasakannya sendiri!”
Malah, McKenna juga bersetuju nasi lemak yang dimakannya di Singapura itu sangat sedikit dan tidak cukup sambal.
Cuba anda cadangkan pula ‘port’ nasi lemak paling sedap di Malaysia?
Sumber: Twitter