Murid Terkesan Dengan Banjir Dibenar Pakai Pakaian Biasa Ke Sekolah – KPM

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan kebenaran kepada murid yang terkesan dengan bencana banjir untuk berpakaian biasa ketika hadir ke sekolah.

murid terkesan dengan banjir dibenar pakai pakaian biasa ke sekolah – kpm

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, pihak sekolah perlu ambil maklum dengan pengumuman itu dan memaklumkan kepada murid yang terlibat untuk berpakaian biasa, sekiranya baju seragam sekolah musnah akibat banjir yang menimpa.

 

“Bagi anak-anak terjejas dengan banjir yang mana pakaian mereka juga hanyut atau pun hilang hingga menyebabkan mereka tiada pakaian ke sekolah, kita (KPM) setuju bahawa mereka boleh hadir menggunakan pakaian biasa asalkan berpakaian.

“Ini adalah sisi pendidikan manusiawi yang perlu kita ambil kira dalam konteks memastikan akses mereka untuk ke sekolah untuk pendidikan tetap dijamin walaupun mereka terjejas dengan situasi banjir,” jelasnya dalam satu sidang media.

 

Menurut beliau lagi, sebanyak 133 buah sekolah rendah dan 23 buah sekolah menengah serta satu pusat permata di Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Sabah, Sarawak, Johor dan Perak yang dilaporkan terlibat dengan banjir besar itu.

 

Dalam pada itu, sejumlah 207 institusi pendidikan di 10 negeri telah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir sebelum ini.

 

Sumber: Utusan