Pencarian ratu cantik, Miss Universe Malaysia tahun ini terpaksa dibatalkan susulan daripada kontroversi yang melanda Miss Universe Indonesia, baru-baru ini.
Menurut Pertubuhan Miss Universe, ia memutuskan hubungan dengan francais Indonesia, lantas terpaksa membatalkan pertandingan di negara ini, tahun ini.
Organisasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, keputusan untuk memutuskan kontrak dengan PT Capella Swastika Karya dan pengarah kebangsaannya, Poppy Capella, yang juga pemegang lesen untuk Miss Universe Malaysia dibuat selepas ada peserta yang menuduh penganjur tempatan melakukan gangguan seksual.
Sebelum ini, enam peserta Miss Universe Indonesia memfailkan aduan kepada polis dengan mendakwa penganjur program itu melakukan gangguan seksual, mengatakan mereka perlu menjalani “pemeriksaan badan” tanpa baju.
"Sudah menjadi jelas bahawa francais ini tidak memenuhi standard jenama kami, etika atau jangkaan seperti yang digariskan dalam buku panduan francais dan kod kelakuan kami," kata Pertubuhan Miss Universe.
Capella pula dalam satu kenyataan di Instagram berkata, beliau tidak membenarkan sebarang bentuk gangguan seksual terjadi dalam program sedemikian.
"Saya menegaskan bahawa saya sebagai pengarah kebangsaan dan pemilik lesen Miss Universe Indonesia tidak terbabit langsung dan tidak pernah mengetahui, mengarahkan, meminta atau membenarkan sesiapa sahaja yang memainkan peranan dan menyertai proses penganjuran Miss Universe Indonesia 2023 untuk melakukan gangguan seksual melalui pemeriksaan badan seperti yang dilaporkan," katanya.
Pertandingan Miss Universe 2023 tahun ini dijadualkan akan diadakan di ElSalvador, akhir tahun ini.
Sumber: Twitter Miss Universe