Musim cuaca panas boleh memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia.
Untuk menyejukkan badan, pasti ramai yang akan berada didalam rumah berserta penghawa dingin, serta menikmati hidangan sejuk seperti aiskrim mahupun air berais.
Baru-baru ini, timbul dakwaan di media sosial kononnya pembuluh darah seseorang boleh pecah jika dia meminum air sejuk semasa cuaca panas. Mesej yang tular itu turut menyenaraikan beberapa nasihat lain yang katanya daripada pakar perubatan.
Bagaimanapun dakwaan ini adalah TIDAK BENAR kerana meminum air sejuk ketika cuaca panas tidak membahayakan kesihatan, bahkan membantu memulihkan hidrasi badan.
Menurut laman MyCheck, dakwaan tersebut merupakan mesej lama yang ditularkan semula menerusi media sosial.
“MyCheck menasihati anda semua agar semak dahulu mesej yang diterima sebelum memanjangkan kepada orang ramai,” demikian menurut laman MyCheck.
Menerusi laman Info Sihat, berikut adalah perkara yang perlu anda lakukan ketika cuaca panas melampau:
- Minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang anda lakukan. Jangan tunggu sehingga anda dahaga.
- Sejauh yang mana yang boleh, anda perlu berada di dalam rumah/bangunan
- Hadkan aktiviti luar
- Kerap berehat
- Mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan anda
- Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang dan longgar.
- Pakai topi atau payung yang besar
Elakkan daripada meminum minuman mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi ketika musim panas melampau. Segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan jika terdapat gejala yang teruk akibat cuaca panas seperti sakit kepala, keletihan, pening dan mual serta muntah.
Sumber: MyCheck / Info Sihat