Penduduk di Kampung Pandamaran Fasa Satu, Pandamaran, dekat Klang, Selangor digemparkan dengan penemuan mayat wanita dipercayai warga asing dalam simen disebuah ruangan tandas rumah sewa, malam tadi.
Difahamkan kediaman terbabit sebelum ini pernah disewa dua lelaki warga asing, sebelum mereka memaklumkan kepada pemilik rumah untuk berpindah keluar, Oktober lalu.
Pemilik rumah yang merupakan lelaki berusia 66 yahun kemudian datang ke rumah terbabit untuk membuat pemeriksaan sebelum penyewa baru berpindah masuk. Bagaimanapun, pemilik rumah sedar terdapat tambahan simen di dalam bilik airnya, sebelum dia bertanya kepada penyewa lama mengenai perkara itu.
Menurut penyewa lama, tambahan itu dibuat kononnya ada bangkai tikus mengalir masuk ke dalam kolah mandim menyebabkan mereka terpaksa menambah simen tersebut.
Tuan rumah yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian mengupah pekerja asing untuk membaiki rumahnya, sebelum disewa kepada orang lain. Namun ketika proses membaiki rumah, pekerja menemui mayat tersebut dan pemilik rumah segera tampil membuat laporan di Balai Polis Pandamaran.
Sepasukan polis dan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum simen dipecahkan bagi mengeluarkan mayat terbabit.
Kes yang mempunyai unsur jenayah ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo! / HMetro