Mayat Bayi Bawah Baldi Punca Bau Busuk Dari Tandas Surau di Terengganu

Misteri bau busuk dari sebuah tandas surau dekat Kampung Pengkalan Nyireh di Besut, Terengganu rupanya berpunca daripada mayat bayi perempuan yang disyaki mati lebih 48 jam.

mayat bayi bawah baldi punca bau busuk dari tandas surau di terengganu

Mayat bayi tidak berdosa itu dilapor dibuang dalam tandas dan ditemui dua wanita yang merupakan penduduk kampung berkenaan sekitar jam 10 pagi.

 

Menurut saksi, dia dan rakannya memberanikan diri memasuki tandas terbabit selepas dimaklumkan tentang bau busuk mencurigakan tersebut.

 

“Mereka memasuki tandas di bahagian tengah sebelum menjumpai baldi berwarna merah dalam keadaan telungkup. Alangkah terperanjat apabila terdapat satu mayat bayi apabila baldi itu diangkat,” kata Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad.

 

Tambah beliau lagi, kedua-dua wanita tersebut kemudian memaklumkan penemuan bayi itu kepada AJK surau.

 

Mayat bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan cukup sifat, dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

 

“Tiada uri ditemui dan tali pusatnya juga telah dipotong. Kita percaya bayi itu telah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Sumber: Kosmo!