Penjaga gol pasukan Argentina, Emiliano Martinez sanggup berbelanja besar bagi memastikan pingat Piala Dunia yang dimenanginya baru-baru ini terjaga dengan baik.
Martinez yang juga pemain kelab Aston Villa sanggup berbelanja kira-kira £20,000 (kira-kira RM106,000) untuk membeli seekor anjing pengawal bagi memastikan pingat juara Piala Dunia 2022 yang dimenanginya sentiasa dalam keadaan selamat.
Beliau dilapor membeli anjing pengawal Belgian Malinois yang digunakan oleh Perkhidmatan Udara Khas Britain dan Tentera Laut Amerika Syarikat.
Martinez menjadi watak penting bagi pasukan Argentina menjulang trofi Piala Dunia 2022 selepas menyelamatkan beberapa gol dari Perancis. Beliau turut memenangi anugerah Sarung Tangan Emas dalam kejohanan sama.
Langkah keselamatan yang dibuat Martinez adalah satu perkara biasa buat bintang sukan sepertinya. Ia berikutan insiden beberapa pemain bola sepak yang dirompak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara mereka yang pernah menjadi mangsa sasaran pencuri adalah ketua jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, penjaga gol Perancis Hugo Lloris, bekas bintang England, Ashley Cole dan Jack Wilshere, dan juara dunia tinju Tyson Fury.
Sumber: Astro AWANI