Kira-kira sebulan lalu, Manchester United berada di persada Liga Perdana Inggeris. Rasa macam dah lama sangat kan? Sebab untuk 7 perlawanan EPL yang seterusnya, United cuma menang 2 kali iaitu 2-1 ke atas Fulham dan 9-0 ke atas Southampton.
Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu seri 4 kali - terbaru ketika berdepan skuad kedua tercorot, West Brom. United juga tewas sekali iaitu kepada pasukan tercorot, Sheffield United 1-2 di Old Trafford.
Disebabkan United hanya berjaya kutip 10 mata daripada 7 perlawanan ni, mereka kehilangan tempat teratas EPL kepada musuh setempat Manchester City. City mendahului saingan dengan kelebihan 7 mata dan kurang 1 perlawanan.
Kalau kita tengok semula, keputusan United ni taklah seburuk disangka. Mereka seri dengan Liverpool, Arsenal dan Everton. Boleh dikatakan pasukan yang kuat juga. Yang jadi masalah buat United ialah pasukan tercorot liga. United kalah kepada Sheffield dan seri dengan West Brom. Berdepan 3 kelab tercorot EPL, United hanya kutip 4 mata.
Ia merupakan sesuatu yang agak membimbangkan kerana prestasi Manchester City ketika ini. Ketika United terus keciciran mata, City terus catat kemenangan demi kemenangan. Skuad Pep Guardiola itu berada pada prestasi terbaik dengan 11 kemenangan berturut-turut dalam saingan EPL.
Namun, Ole Gunnar Solskjaer nampaknya tidak mudah mengalah. Dia tegaskan dia tidak akan berpuas hati dengan hanya kedudukan ke-2 yang dimiliki United sekarang. Solskjaer tekad untuk terus berikan saingan kepada City dalam merebut kejuaraan liga. Bukan sesuatu yang mudah namun ia tak lah sampai tahap mustahil.
Bukan tugas mudah kerana Solskjaer perlukan semua pemainnya berada pada prestasi terbaik. Marcus Rashford dan Anthony Martial tidak berada pada prestasi terbaik.
Ketiadaan Paul Pogba akibat kecederaan juga tidak membantu United. Kalau musim lepas, Pogba mungkin dikatakan antara penyebab United gagal beraksi dengan baik, tapi lain pula ceritanya musim ini. Pogba mula serasi bergandingan dengan Bruno Fernandes untuk melancarkan serangan.
Kemudian, Solskjaer perlu selesaikan masalah pertahanan tengah yang dihadapi United. Secara peribadi, gandingan Harry Maguire dan Victor Lindelof tidak konsisten. Kita boleh tengok pada aksi berdepan West Brom, persembahan mereka tak cukup bagus.
Perkara ini perlu diberi perhatian oleh Solskjaer sebab saingan Liga Europa bakal bersambung kembali. Maknanya, jadual perlawanan akan semakin padat dan pemain akan mula penat kalau Solskjaer terus menggunakan pemain yang sama untuk setiap perlawanan.
Persoalannya jika Solskjaer buat keputusan untuk menggugurkan pemain-pemain yang disebutkan tadi adakah United mempunyai pemain lain untuk menggalas tugas yang ditinggalkan? Jangan salah faham, sebelum musim bermula, tiada siapa yang jangka United akan berada pada kedudukan kedua liga ataupun boleh mendahului saingan buat seketika.
Ini merupakan pencapaian baik buat Solskjaer. Cuma, adakah United mampu untuk terus bersaing merebut kejuaraan atau kekal sebagai pasukan top 4 atau big 6?
Perlu diingat, kali terakhir Manchester United menjuarai EPL adalah pada 2013. Takkan lah United nak tunggu sampai 30 tahun untuk kejuaraan seterusnya?
Oleh: Karami Kamel