Ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil keputusan untuk menangguh kemasukan mereka ke institusi pengajian tinggi kerana khuatir dibebani hutang pendidikan pada masa depan.
Memetik laporan media tempatan, kajian terdahulu yang dijalankan Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM enggan menyambung pelajaran.
Meskipun data tersebut adalah dari 2019, trend itu bagaimanapun dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.
Salah seorang lepas SPM 2021 yang dikenali sebagai Nurul Aqilah Abdullah berkata, sementara memikirkan jurusan yang sesuai untuk diambilnya ketika menyambung pelajaran kelak, dia memutuskan untuk bekerja di sebuah kedai minuman bersama rakan sebaya lain.
“Saya bukan sudah putus untuk tidak sambung belajar tetapi masih berfikir sama ada nak sambung belajar atau tidak kerana risau masalah-masalah dari segi kebolehupayaan untuk mendapat kerja dan tekanan-tekanan lain.
“Sekarang ni saya bekerja di sebuah kedai minuman bersama beberapa rakan sebaya lain. Rata-rata memang semua tengah fikir sama ada nak sambung (pelajaran) atau tidak, semuanya ada keraguan seperti saya,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi lepasan SPM 2021, Nur Nabila Huda Mohammad Rosli berkata, dia menghadapi tekanan kewangan dan kemungkinan tidak akan menyambung pembelajaran.
“Saya tidak pasti sama ada mahu membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana bimbang dibelenggu hutang selepas tamat pengajian,” ujarnya.
Sumber: Utusan