Berapa kerapkah anda mendengar pasangan anda membebel?
Satu kajian yang dijalankan di Rusia mendapati satu persepuluh penduduk lelaki negara itu rela untuk keluar berperang daripada mendengar bebelan isteri mereka di rumah.
Menurut Datuk Bandar Vorkuta, Yaroslav Shaposhnikov berkata, kebanyakan sukarelawan yang tampil untuk berperang di Ukraine adalah kerana mereka mahu menjauhkan diri daripada isteri yang suka membebel.
Bagaimanapun Yaroslav tidak mengulas lanjut mengenai angka bilangan lelaki yang menjadi sukarelawan ini sehinggakan rakaman video ucapannya tular dan meraih kecaman.
Beliau kemudian mempertahankan kenyataannya dan berkata komennya dipetik di luar konteks oleh pihak media.
“Kata-kata saya diambil di luar konteks, malah ada yang memberi tafsiran sendiri. Anda perlu menonton video diskusi itu sepenuhnya tetapi secara umum, saya tetap dengan pendirian bahawa wanita adalah tonggak kepada suami dan perlu menyokong suaminya dalam apa jua keadaan,” katanya.
Sumber: Kosmo!