Demam piala dunia telah pun berakhir semalam, menyaksikan pasukan Argentina menjulang trofi berprestij ini untuk kali ke-3 sejak kali terakhir 36 tahun yang lalu.
Pasti ramai peminat bola sepak yang tidak melepaskan peluang empat tahun sekali ini untuk menyaksikan aksi hebat pasukan dan pemain bola sepak kegemaran mereka. Namun tahukah anda, disebabkan obses dengan piala dunia, seorang lelaki telah lumpuh wajahnya kerana tidak cukup tidur waktu malam?
Lelaki berusia 26 tahun dari Wuhan, China, tidak melepaskan walau satu perlawanan aksi piala dunia dan sanggup berjaga waktu malam. Namun selepas seminggu berjaga malam, lelaki itu tidak dapat menggerakkan wajahnya semasa beliau sedang bekerja di pejabat.
“Pada 30 November lalu, saya hanya tidur dua jam sebelum berjaga demi menonton perlawanan bola sepak, tetapi saya rasa sangat penat selepas bangun.
“Saya tidak memikirkan penat itu, tetapi semasa di pejabat, ia menggangu kerja saya,” kata lelaki yang hanya dikenali sebagai Encik Cao.
Cao tidak dapat menggerakkan kelopak matanya dan segera ke hospital untuk pemeriksaan. Doktor mengesahkan beliau lumpuh pada wajah disebabkan kurang tidur serta cuaca yang sejuk. Mujur keadaan itu hanya sementara dan Cao kini semakin beransur pulih.
Sumber: OC