Para saintis telah melaporkan kes pertama yang melibatkan seorang lelaki diuji positif cacar monyet, Covid-19 dan HIV pada satu masa.
Memetik laporan The Independent, warga Itali berusia 36 tahun itu mengalami beberapa simptom berkaitan termasuk keletihan, demam dan sakit tekak, kira-kira sembilan hari selepas pulang dari perjalanan ke Sepanyol.
Pesakit pertama kali diuji positif Covid-19 pada 2 Julai, menurut laporan kajian kes terbabit yang diterbitkan dalam Journal of Infection.
Pada 5 Julai, dia dilaporkan positif cacar monyet pula.
Susulan itu, pesakit telah disaring untuk beberapa penyakit kelamin (STI) yang mana dia kemudian dilaporkan positif HIV-1.
Bagaimanapun, selepas pulih daripada Covid-19 dan cacar monyet, dia dibenarkan keluar dari hospital pada 11 Julai untuk menjalani pengasingan di rumah.
Menurut para penyelidik, mereka masih belum menemui bukti kukuh yang mengatakan gabungan ketiga-tiga penyakit itu mampu memburukkan keadaan pesakit.
“Memandangkan ini adalah satu-satunya kes yang melaporkan jangkitan bersama virus cacar monyet, SARS-CoV-2 dan HIV, masih belum cukup bukti yang menyokong bahawa gabungan ini boleh memburukkan keadaan pesakit.
“Melihat keadaan semasa pandemik SARS-CoV-2 dan peningkatan harian kes cacar monyet, sistem penjagaan kesihatan mesti menyedari kemungkinan ini,” kata mereka.
Sumber: The Independent