Seorang lelaki tua di Thailand yang terkenal kerana sering berjalan kaki ayam sejauh 2-kilometer untuk meminta makanan dan wang telah ditemui mati di tepi jalan di Udon Thani, baru-baru ini.
Laman berita Thaiger melaporkan bahawa Boon, 81, ditemui tanpa seurat benang pada badannya, dan diduga meninggal dunia akibat daripada strok haba.
Pada pukul 9 pagi Khamis, 11 Mei 2023, penduduk kampung memberitahu pegawai penyiasat dari Balai Polis Na Kha, Ratpol Mora Rat mengenai penemuan mayat di tepi jalan di kawasan Ban Ngoi-Ban Nakhon Kaew.
Ratpol bersama pasukan perubatan tiba di tempat kejadian dan menemui mayat Boon bersama-sama kain batik, baju-T, tongkat, dan beg plastik. Hasil bedah siasat juga menunjukkan bahawa Boon mungkin meninggal dunia dua hari sebelum mayatnya ditemukan dan tidak ada tanda-tanda pergelutan yang terjadi.
Boon diduga meninggal dunia akibat strok haba disebabkan cuaca yang panas. Pakaiannya mungkin ditanggalkan sendiri kerana cuaca yang terlalu panas dan ingin menyejukkan diri.
Kisah Boon menjadi viral pada Julai tahun lalu setelah ia tular di media sosial, yang membuat ramai orang berasa simpati dengan keadaannya. Pada hari Boon dilaporkan hilang, Boon memberitahu anaknya bahawa dia ingin pergi ke rumah saudaranya yang sakit di sebuah kampung lain. Boon turut mengatakan dia mahu berjalan kaki ke sana dengan bantuan tongkatnya.
Sumber: Thaiger