Lebih Ramai Dijangka Alami Masalah Mental Lepas Pandemik COVID-19

Selepas berlalunya pandemik COVID-19, kini semakin ramai individu dijangka mengalami masalah kesihatan mental disebabkan oleh pelbagai faktor.

lebih ramai dijangka alami masalah mental lepas pandemik covid-19

Demikian menurut Anita Abu Bakar, Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) yang berkata menurut statistik, terdapat peningkatan jumlah pesakit mental pada masa kini.

 

Anita menjelaskan bahawa lebih daripada 100,000 individu dari seluruh negara telah mendapatkan sokongan melalui pelbagai platform yang disediakan oleh MIASA sejak pandemik melanda pada awal 2020 disebabkan pelbagai masalah yang dihadapi.

 

"Kesedaran terhadap kesihatan mental kini semakin meningkat, dan tugas kami di MIASA adalah untuk membantu individu-individu ini menjalani kehidupan yang lebih baik walaupun mereka telah didiagnosis dengan penyakit mental.

"Beberapa masalah kesihatan mental yang dialami termasuklah kemurungan, depresi, kecelaruan bipolar, dan skizofrenia," katanya.

 

Beliau turut berkongsi bahawa lebih daripada 33,000 individu telah mendapatkan khidmat sokongan mental, emosi, dan rohani daripada MIASA sepanjang tahun lalu.

Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan individu ini terdiri daripada golongan yang terjejas pendapatan, terutamanya mereka yang mengalami krisis kewangan akibat kehilangan punca pendapatan.

 

"Dengan penubuhan cawangan baru di Terengganu, kami menjangkakan antara 10 hingga 15 peratus daripada jumlah individu tersebut akan mendapatkan bantuan daripada 33 sukarelawan yang akan membantu mereka.

"Kami berharap dapat membantu masyarakat di Pantai Timur untuk datang ke sini kerana lokasinya yang lebih inklusif dan juga sebagai pusat advokasi yang efektif dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental.

"Kami juga ingin mencipta masyarakat di mana tidak ada stigma dan diskriminasi terhadap golongan yang mengalami masalah kesihatan mental ini, sambil menyokong usaha kami dalam membantu mereka," katanya.

 

Walau bagaimanapun, Anita mengakui bahawa ada segelintir individu hanya mencari pertolongan daripada MIASA setelah gagal mendapatkan rawatan alternatif lain termasuklah menggunakan khidmat bomoh.

 

Sumber: Sinar Harian