Kucing merupakan haiwan yang sering dijadikan peliharaan ramai di rumah. Memelihara kucing antara satu terapi yang dapat menghilangkan tekanan selepas penat bekerja di pejabat.
Pernahkah anda cuba untuk memanggil kucing milik orang lain, namun tidak diendahkannya walaupun nama yang dipanggil itu sama sahaja seperti yang dipanggil tuan mereka?
Ia adalah kerana kucing didapati mempunyai kelebihan membezakan pemiliknya melalui suara, seperti menurut kajian oleh penyelidik di Universiti Kyoto.
Dalam kajian yang dibuat keatas berpuluh-puluh ekor kucing itu, penyelidik telah meletakkan seekor kucing domestik dalam sebuah bilik yang mempunyai pembesar suara Bluetooth dan juga meletakkan pembesar suara lain di luar bilik.
Penyelidik kemudian memainkan beberapa kombinasi ujian bunyi dan lokasi termasuk suara pemilik, bagi menguji kebolehan sosio-ruang kucing terbabit. Mereka juga memainkan bunyi rakaman melalui pembesar suara dalam bilik sebelum memainkan bunyi sama yang terdapat diluar.
Hasilnya, kucing tersebut terkejut apabila mendengar suara pemilik mereka dari luar bilik beberapa saat mendengar dari dalam bilik, seolah-olah pemilik mereka baru melakukan teleportasi.
Tambah lagi, kucing yang dikaji itu tidak bertindak balas dengan cara sama apabila bunyi lain dimainkan melalui pembesar suara.
Ia jelas menunjukkan bahawa kucing mempunyai gambaran mental pemilik mereka yang tidak kelihatan dan menentukan lokasi tuannya daripada suara yang didengari, menunjukkan juga bukti terdapat kognisi sosio-ruang, kata penyelidik itu dalam ujikaji berkenaan.
Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal PLOS pada November 2021 lalu.
Dalam erti kata lain, kucing anda sebenarnya tahu untuk membezakan bunyi daripada suara anda berbanding bunyi-bunyi lain, tetapi sengaja buat-buat pekak bila anda cuba memanggil mereka. Barangkali kucing ada sifat ego mereka tersendiri.
Sumber: [1]