Poland menjadi negara pertama di dunia yang melaporkan sejumlah kes kucing yang dijangkiti oleh virus selesema burung (H5N1).
Perkara itu didedahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas negara itu memaklumkan kematian luar biasa di seluruh Poland apabila 29 ekor kucing didapati positif H5N1.
Jumlah itu adalah antara 46 ekor kucing yang diuji dalam satu kurungan dan 14 daripadanya telah dibunuh, manakala 11 lagi telah mati.
"Punca pendedahan kucing terhadap virus itu tidak diketahui dan siasatan epizootik sedang dijalankan," kata WHO dalam satu kenyataan.
Antara gejala pada kucing yang dijangkiti H5N1 adalah seperti kesukaran bernafas, cirit-birit berdarah, susut tubuh badan dan mati secara tiba-tiba.
Menurut laporan, Eropah telah berdepan dengan wabak H5N1 sejak akhir 2021 lagi, sama seperti Amerika Utara dan Selatan. Wabak itu telah menyebabkan jutaan ayam terpaksa dimusnahkan sejak pertama kali ia muncul pada tahun 1996.
Sumber: Sinar Harian