Bagaikan satu trend masa kini, hidangan yang disediakan mesti ditambah dengan pelbagai bahan seperti cheese leleh untuk membuatkan ia lebih lazat.
Meskipun ia nampak enak, namun ia sangatlah tidak baik untuk kesihatan kerana menu seperti ini sangat tinggi kalorinya jika kerap diambil setiap hari.
Kalori berfungsi memberi tubuh kita tenaga dalam bentuk haba dan perlu diambil dalam sejumlah yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan dengan sihat dan baik. Lelaki dewasa secara purata memerlukan 2,500 kilokalori (kcal), manakala wanita sekitar 2,000 kcal setiap hari. Namun ia bergantung juga kepada umur, saiz dan tahap aktiviti fizikal seseorang itu.
Ketika makan, badan akan menggunakan sebahagian kalori dan dibakar sebagai sumber tenaga. Selebihnya akan disimpan sebagai lemak. Pengambilan lebih banyak kalori daripada yang anda mampu bakar boleh menyebabkan kegemukkan dan mengalami masalah berat badan berlebihan.
Bukan itu sahaja, ia boleh meningkatkan risiko mendapat kanser dan masalah kesihatan kronik lain.
Risiko lain jika kerap mengambil makanan tinggi kalori dan kurang bersenam adalah seperti:
- Mempengaruhi sistem pencernaan
- Mempengaruhi kualiti tidur
- Lemak dalam badan menjadi tinggi
Justeru, anda dinasihatkan untuk mengawal ambilan makanan, elakkan topping berlebihan seperti keju, dan banyakkan makanan berserat.
Anda juga dinasihatkan untuk minum banyak air kosong kerana air kosong tidak mempunyai kalori dan boleh mengeyangkan perut.
Jangan jadikan makanan mahupun minuman yang viral sebagai trend kerana ia berpotensi menjadi simpanan lemak dalam tubuh jika anda tidak berusaha untuk membakar kesemua kalori tersebut.
Sumber: Hello Doktor