Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan peningkatan mendadak kes COVID-19 di dunia, khasnya di negara India baru-baru ini sebagai satu kekecewaan yang luar biasa.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata disebabkan peningkatan mendadak itu, bekalan oksiden dan keperluan kritikal lain kini dihantar ke negara terbabit oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Apa yang berlaku di India sangat mengecewakan. WHO melakukan apa yang terdaya, termasuk menyediakan bantuan peralatan kritikal, ribuan tong oksigen, membuka hospital di lapangan dan membekalkan barangan makmal.
"Seperti yang saya katakan pada Jumaat, WHO telah mengerahkan lebih 2,600 kakitangannya ke India, bagi membantu pihak berkuasa mengawal penularan, termasuk dalam aspek pemantauan dan vaksinasi," katanya.
Angka kematian akibat virus itu juga meningkat untuk enam minggu berturut-turut di peringkat global, selain kes baharu yang terus mencatatkan peningkatan dari hari ke hari untuk sembilan minggu.
"Jumlah kes di seluruh dunia minggu lalu sama banyaknya dengan angka yang direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama wabak ini mula merebak," katanya.
Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 148,469,071 kes positif COVID-19 dicatatkan, dengan negara India sebagai negara paling terjejas secara harian, diikuti Amerika Syarikat, Turki, Brazil dan Iran.
Sumber: Astro Awani