Mulai Januari 2024, KTMB Perkenal Kereta Api Enjin Stim Konsep Tradisional

Menurut Ketua Pegawai Korporat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Mohamed Suhaimi Yaacob, kereta api enjin stim dengan hiasan dalaman koc penumpang berkonsep tradisional akan memulakan operasi pada Januari tahun depan.

mulai januari 2024, ktmb perkenal kereta api enjin stim konsep tradisional

Inisiatif Tourism Heritage Steam Locomotive Train, hasil kerjasama antara KTMB dan Great Leisure Sdn Bhd, bertujuan menarik pelancong tempatan dan luar negara untuk menikmati keindahan alam di sepanjang laluan kereta api.

 

Kereta api ini akan menawarkan pengalaman unik kepada penumpang dengan menikmati keindahan lokasi tarikan pelancongan yang menarik sepanjang laluan kereta api, terutamanya di laluan hutan dari Gemas, Negeri Sembilan hingga ke Tumpat, Kelantan.

mulai januari 2024, ktmb perkenal kereta api enjin stim konsep tradisional

"Sementara itu, Kuala Lumpur dan Butterworth akan menjadi destinasi permulaan bagi perkhidmatan kereta api enjin stim itu sebelum meliputi destinasi lain," katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Kereta Api antara KTMB dan Great Leisure.

 

Pengarah Urusan Great Leisure, Datuk Dzulfadly Abdullah berkata hiasan dalaman koc penumpang itu menggunakan sepenuhnya hasil kerja tangan ukiran anak tempatan yang kini telah siap kira-kira 70 peratus. Selain itu, kerusi penumpang pula akan menggunakan rekaan yang diinspirasikan oleh syarikat tempatan mengikut konsep seniman P. Ramlee dan seniwati Saloma.

 

Dzulfadly juga berkata penumpang bukan sahaja dapat menggunakan perkhidmatan itu sebagai mod pengangkutan ke destinasi pelancongan, malah boleh menjadikan kereta api berkenaan sebagai lokasi bagi mengadakan sebarang majlis termasuk majlis perkahwinan. "Kita ada 'open deck' yang memang dikhaskan untuk majlis istimewa penumpang," katanya.

 

Namun, harga pakej penganjuran majlis dalam dek kereta api itu masih belum ditetapkan oleh pihak Great Leisure.

 

Sumber: Astro AWANI