Akibat daripada mengejar lipas, seekor kucing ‘Oyen’ terpaksa menanggung kesakitan selama hampir dua jam selepas kepalanya tersangkut pada dinding sebuah rumah di Taman Sunny, Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut pemilik kucing itu, kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 pagi, sebelum pemilik Oyen itu menghubungi pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.
"Setibanya di lokasi, pengadu memaklumkan leher kucing tersangkut pada dinding rumah dan difahamkan haiwan itu tersangkut selepas mengejar lipas sehingga ke lubang tersebut.
"Setelah menilai keadaan, pasukan kami mendapat kebenaran daripada pengadu untuk memecahkan tembok dinding rumah pengadu," kata Pegawai Bencana Operasi APM Kota Kinabalu, Ezra Gandui Daniel yang mengesahkan kejadian itu.
Operasi menyelamatkan Oyen akhirnya berjaya selepas anggota bertindak melindungi kucing tersebut semasa operasi memecahkan tembok berkenaan.
Tiada sebarang kerosakan peralatan dan kecederaan berlaku di lokasi. Operasi menyelamat ditamatkan kira-kira jam 1.30 petang selepas hampir dua jam Oyen terperangkap.
Sumber: Sinar Harian